Followers

Wednesday, February 11, 2009

Siti Nurhaliza nafi buang lemak di Klang

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Siti Nurhaliza (kanan) dan Iqram hadir pada majlis hari jadi Fouziah, minggu lalu.

Penyanyi nombor satu akui cuma pernah mendapatkan rawatan di sebuah pusat kecantikan

DUA tiga bulan kebelakangan ini, heboh peminat bercakap, susuk tubuh penyanyi kesayangan mereka, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, naik mendadak. Sekiranya Siti mengandung, itu perkara lazim, kadang kala badan boleh 'mengembang' gara-gara pembawakan budak, selera makan memang susah nak dikawal.

Sebaliknya Siti mengakui, dia belum 'berisi', mungkin tiada rezeki lagi dia menimang cahaya mata sekalipun sudah lebih dua tahun mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Pun begitu, peminat mendakwa sejak sebulan lalu, penampilan Siti sungguh mengagumkan, badannya kembali ramping, tiba-tiba saja jadi begitu, kata mereka.

Terbaru, ketika Siti mengadakan persembahan pada malam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) 2008, baru-baru ini, memang 'meletup' susuk tubuhnya, persis zaman anak dara dulu, cun! Justeru, sejak Siti mendapatkan kembali susuk tubuh asalnya, mulalah orang bercakap yang bukan-bukan, kononnya Siti ke luar negara baru-baru ini untuk mendapatkan rawatan pembedahan buang lemak!

Nampaknya macam serba tak kena dengan tubuh badan Siti, gemuk orang mengutuk tak cantik, dah kembali kurus pun orang mengumpat dia buang lemak! Sabarlah Siti, jadi selebriti popular, inilah 'harga' yang perlu dibayar apabila setiap inci perubahan diri kita menjadi perhatian ramai.

Terbaru, Zubir ada terbaca satu gosip dalam ruangan pojok sebuah akhbar dengan cerita kononnya seorang artis popular yang dulunya berisi, tapi tiba-tiba saja sudah kembali kurus. Tambah gosip itu lagi, artis atau penyanyi popular itu, begitu terdesak untuk mendapatkan kembali tubuh rampingnya apabila peminat mula perasan badannya semakin membesar sejak kebelakangan ini.

Tambah satu gosip lain, penyanyi kesayangan ramai itu khabarnya membuat keputusan drastik apabila dia nekad melakukan rawatan pembedahan buang lemak, tapi bukannya di Amerika Syarikat, London atau Paris yang terkenal dengan rawatan kecantikan kelas VVIP, sebaliknya memilih sebuah pusat kecantikan di Klang, Selangor untuk proses buang lemak itu, memang pelik bunyinya, kan?

Zubir pun merisik dengan beberapa rakan wartawan hiburan, siapakah gerangan artis atau penyanyi popular itu, akhirnya selepas puas memujuk akhirnya mereka memberitahu, empunya diri itu ialah Datuk Siti Nurhaliza kita! Alamak, ya ke?

Justeru, peluang menemui Siti yang hadir bersama suaminya pada majlis tertutup ulang tahun ke-26 aktres jelita, Fouziah Gous (hari jadi Fouziah 11 Disember lalu) di sebuah banglo minggu lalu, digunakan sebaik mungkin untuk merungkai kesahihan cerita, benarkah Siti buang atau sedut lemak di Klang? Selesai menjamu selera menikmati kek hari jadi, di satu sudut banglo berkenaan, Zubir buka 'ruangan gosip' bersama Siti!

"Memang Siti ada terbaca gosip artis buang lemak, begitu juga dengan khabar angin kononnya artis sedut lemak di Klang. Abang Zubir, Siti sumpah, Siti tak pernah buat benda tu (buang lemak). Orang tak tahu betapa susahnya Siti nak dapatkan balik badan kurus ni, untuk pengetahuan Abang Zubir, sejak Ramadan lalu, Siti tak makan nasi! Siti lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayuran saja.

"Pun begitu, Siti tak nafikan, awal tahun ini memang Siti ada mendapatkan rawatan facial di sebuah pusat kecantikan di Klang, tapi bukannya buang atau sedut lemak seperti yang dicanang dalam gosip itu. Biarlah apa orang nak cakap Abang Zubir, lagi Siti difitnah, lagi murah rezeki Siti," kata Siti berterus-terang.

Dalam kenyataan Siti kepada Zubir itu, dia berani bersumpah! Bagi Zubir, jika seseorang itu sudah bersumpah, dia pasti berani menanggung risiko jika ada sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya suatu hati nanti. Justeru, Zubir harap peminat atau orang di luar sana tidak terus menghukum Siti dengan cerita negatif. Mujurlah Siti sudah lali dengan fitnah dan kata-kata cerca orang yang sakit hati dengannya. Stay cool Datuk Siti!

Selain Siti, suaminya, Zaiton Mohd Jiwa (penerbit drama bersiri Spa Q 2) dan Iqram Dinzly, hanya kaum keluarga terdekat Fouziah saja yang hadir pada majlis hari jadi tertutup itu. Happy birthday Fouziah! Ketika ini Fouziah sedang sibuk mengikuti penggambaran filem terbaru lakonannya, Dua Hati Satu Jiwa.

ZUBIR: Apa dah jadi dengan Saniboey Mohd Ismail, masih jadi wartawan hiburan lagi ke?

No comments: